----- > Teman Bicara < -----

**--** Antara Kita Tiada Rahsia **--**

Wednesday, November 30, 2011

Mengapa Perasaan Perempuan Selalunya Lemah


Duhai Hawa, mengapa kita terlalu lemah? Saya selalu terfikir mengapalah perasaan perempuan itu selalu lembut dan tersentuh. Bukan kita tak pernah dengar, sekeras-keras hati perempuan, akan lembut juga. Kerana itu rasanya Allah jadikan ibu seorang perempuan.
Seorang ibu itu dia lembut dalam garang, marah dalam sayang. Dua sifat antagonis ni sangat sebati dalam diri seorang insan bergelar Hawa. Kadangkala sensitifnya terlebih, adakalanya penyayang bukan main lagi.
Peliknya, untuk memahami perasaan naluri diriku sendiri, hatiku kadangkala seperti sebuah sampan di atas ombak yang kuat. Bergulir-gulir tanpa tujuan walaupun sudah dikayuh dengan kuat ke arah yang sudah ditetapkan.
Benar umum sudah mengetahui, cinta kepada Allah itulah paling hakiki. Tetapi untuk mereliasasikan cinta itu tidak semudah seperti sebutan di lidah semata. Banyak halangan yang perlu ditempuhi dan cabaran yang selalu menarik-narik diri ini untuk beralih arah dari mencapai Ilahi.
Benar, hakikatnya untuk mencapai cinta Ilahi ini, tidak cukup hanya dengan mentaati perintah-Nya semata-mata, dengan hanya menunaikan solat 5 waktu, puasa pada bulan Ramadhan dan juga membaca Al-quran.
Tetapi memerlukan pengorbanan yang lebih besar dari itu! Betapa ramai manusia hatta orang-orang soleh sendiri gagal dalam meraih cinta dari Allah saat kematian mereka kerana gagal melaksanakan perintah ini.
Itulah menahan diri dari perkara-perkara yang dimurkai Allah. Sukarnya menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang Allah larang kerana nafsu kita sangat-sangat cenderung kepada perkara tersebut.
Saidina Umar pernah berkata : "Seorang yang memiliki kualiti taqwa adalah seperti seorang yang berjalan di atas jalan berduri dengan berhati-hati. Seperti mana dia sangat berhati-hati untuk memastikan pakaiannya tidak terkena duri tersebut seperti itu jugalah seorang yang bertaqwa itu harus berhati-hati dalam setiap perbuatan yang dilakukannya."
Saidina Ali juga pernah berkata : "Taqwa adalah takutkan Allah, berbuat seperti mana yang disuruh oleh Allah, puas dengan apa yang ada dan bersiap sedia untuk hari pelepasan (kematian)."
Indahnya kata-kata mereka.
 
Kadang-kadang aku rasa marah pada diri sendiri. Kenapalah susah sangat nak menahan hawa nafsu? Terutama dalam perkara-perkara untuk menundukan pandangan. Memang benarlah firman Allah :
"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka...." (Surah An-Nur : 30-31)
Kerana pandangan itulah akar kepada banyak maksiat yang berlaku sesama berlainan jantina.
Bagi aku, kadangkala sikap 'double standard' selalu ada apabila berhadapan dengan kawan yang bukan muslim. Namun rasanya tidak boleh sebegitu kerana dari situlah kita dapat berlatih untuk membersihkan hati kita.
Paling penting bukanlah menundukkan pandangan dengan menundukkan pandangan mata semata-mata, namun adalah menundukkan perasaan. Jika hawa dan adam berbual tanpa memandang sesama sendiri, namun jika gagal mengawal perasaan, banyak juga boleh jadi.
Selain itu, mungkin saja kita gagal dari menahan diri dari menonton rancangan televisyen yang mungkin mendedahkan aurat-aurat yang tidak patut kita nikmati.
Bukan itu sahaja, mungkin sahaja kita memandang kawan sekelas kita dengan merasakan sesuatu di dalam hati.
Dalam umur yang memasuki dewasa ini, perasaan adalah satu-satunya harta berharga yang perlu dijaga. Dan alangkahnya susah sebenarnya.
Oleh kerana itu kita lihat ramai orang solat dan menutup aurat namun tidak ramai yang dapat menjaga pergaulan. Sungguh, jalan menuju redha Allah penuh dengan duri dan jalan ke neraka penuh dengan keenakan duniawi.
Kaum Hawa, kuatkan jati dirimu dan lindungilah tamanmu dari dicemari oleh pandangan orang yang bukan menjadi hakmu.
Kaum Adam, peliharalah hatimu dari menjadi milik selain dari Rab-Mu. Semoga kita semua menang dalam menempuhi ujian di dunia ini. Ameen!
alt

Sedih Bukan Penyelesaian


Dunia ini penuh dengan cabaran dan pancaroba. Walau sepahit mana sekalipun, hidup perlu di teruskan selagi hayat di kandung badan.
Jika hari ini kita susah, usah merungut kerana ada yang kehidupannya kurang bernasib baik dari kita. Jangan kita memandang orang yang berada di atas, kelak kita sendiri yang akan binasa kerana terlalu menginginkan hidup yang mewah.
Tetapi pandang orang yang berada di bawah kita dengan penuh hikmah kerana ia akan menjadikan kita lebih bersyukur kerana kehidupan kita lebih baik dari orang lain.
Allah S.W.T berkuasa ke atas hamba-hambanya. Allah S.W.T maha bijaksana dalam mengatur yang terbaik untuk hamba-hambanya. Kita sebagai manusia jangan mudah berputus asa dalam memohon keampunan dan pertolongan dari-Nya.
Anggap musibah yang melanda sebagai ujian kerana Allah sedang menguji keimanan dan ketaqwaan hamba-hambanya.
Allah S.W.T berfirman :
"Dan sungguh akan kami  berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan.Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar". (Al- Baqarah : 155)
Hadapi musibah itu dengan hati yang tenang dan redha. Jangan kita mudah berputus asa dan bersedih setiap hari mengenangkan nasib. Musibah yang menimpa kita itu akan menjadikan kita kuat dan matang. Ujian yang Allah berikan juga akan mendidik kita untuk mendekatkan Diri kepada yang maha esa.
Mungkin salami ini kita lalai dalam mengingatinya. Dengan ujian yang melanda, akan membuatkan kita dekat kepada-Nya dengan berdoa dan kembali kepada jalan yang diredhai.
Berdoalah kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya doa itu adalah senjata bagi orang mukmin.
Firman Allah S.W.T :
"Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya aku perkenankan doa kamu". (Al- Mukmin : 60)
Jangan terlalu bersedih atas musibah yang melanda kerana apabila Allah menguji hambanya, itu bermakna Allah sayang kepada hambanya. Kuatkan hati dan bangkit bangun dari kesedihan kerana dengan bersedih tidak dapat menyelasaikan masalah. Katakan lah pada diri "masih ada hari esok untuk aku".
Jadi, bangkit lah untuk menjadi lebih kuat dan terus kan hidup ini dengan membuat sesuatu yang terbaik.
Walau apa pun ujian yang melanda, ingatlah bahawa Allah S.W.T sentiasa bersama kita selagi kita ingat kepada-Nya. Kita tidak pernah keseorangan dalam kehidupan ini kerana Allah itu dekat dengan kita. Dekatkan lah diri kita kepada Allah dengan mendirikian solat dan berzikir. Cari teman untuk berkongsi masalah.
Ikhlaskan hati dan redha dalam menghadapi musibah itu akan menjadikan kita tenang. Renungkan kembali, mungkin musibah yang melanda adalah kifarah dosa kita yang lalu. TEKAD UNTUK TIDAK MENGULANGINYA.
Bersabar dalam menghadapi musibah, itu adalah yang terbaik. Jangan terburu-buru membuat sesuatu yang boleh memudaratkan diri sendiri. Isi masa yang terluang dengan perkara yang berfaedah seperti bersukan, membaca buku-buku motivasi, solat sunat dan bertadarus. Semua ini akan membuatkan kita lupa pada masalah yang sedang kita hadapi.
Jangan berputus asa dalam memohon rahmat dan keampunan Allah S.W.T. Jangan biarkan hidup hancur akibat tidak sabar, Keluarga akan hancur akibat emosi yang berpanjangan dan pekerjaan menjadi kacau akibat tidak pandai mengatur.
alt

Tuesday, November 29, 2011

Muhasabah Maal Hijrah


Di awal tahun baru hijrah,
Ku sujud menghambakan diri pada-Mu,
Hati terus merintih mengenangkan dosa lalu,
Kotornya diri dengan maksiat dan noda,
Lemahnya jiwa berdepan dengan dunia,
Lalainya diri dari mengingati-Nya,
Astaghfirullahal 'adzim....
Banyaknya kekurangan diri,
Ampuni hamba-Mu ini Ya Allah.
Aku sedar,
Jiwa yang tandus taqwa,
Terdorong lakukan apa sahaja,
Sanggup menentang arus kehendak Ilahi,
Yang difikir hanyalah untuk kepuasan diri,
Maka, pabila dosa telah larut,
Gelaplah hati, kotorlah jiwa, murunglah diri,
Itulah fitrah sang pendosa,
Yang leka dari pencipta-Nya.
Namun, bila iman hadir di jiwa,
Mata hati mula bekerja,
Baru kusedar, betapa diri jauh dari-Mu Tuhan,
Asyik sibuk untuk dunia,
Hinggakan solat sering kutunda,
Al-Quran pun malas dibaca,
Lidahku kotor dengan kata-kata dusta,
Mata ini tak kujaga dari perkara dosa,
Telinga ini mendengar apa yang tak sepatutnya,
Kaki ini sering melangkah ke tempat lagha.
Ya Allah,
Jauh sekali diriku dengan peribadi kekasih-Mu,
Kau teladan terbaik bagi seluruh umat,
Ingin sekali aku mencontohi peribadimu, Rasulullah
Meskipun dirimu suci tanpa dosa,
Solat malam tidak pernah kau lupa,
Munajatmu di tengah malam jadi rutin harian,
Pengharapanmu pada Tuhan terlalu tinggi,
Sedang aku???
Seorang hamba yang penuh dosa....
Solat fardhu pun kurang dijaga,
Apatah lagi solat malam sepertimu, Ya Nabiyullah.
Sungguh,
Aku ingin berubah,
Menjadi seorang hamba-Mu yang taat,
Aku takut akan azab kubur,
Aku gerun dengan dahsyatnya neraka-Mu,
Dan kurindukan nikmat syurga.
Jadi,
Kupohon padaMu wahai Tuhan,
Campakkan ke dalam hati ini niat yang tulus,
Ingin sekali aku berdiri di hadapan-Mu dengan jiwa yang tunduk,
Ingin sekali aku rukuk pada-Mu dengan hati yang pasrah,
Dan ingin sekali ku sujud ke hadhrat-Mu dengan punuh kehambaan,
Ya Rahim,
Sucikan hatiku dari sifat munafik,
Sucikan amalku daripada riyak,
Sucikan lidahku daripada dusta dan mataku dari khianat,
Jadikanlah diriku seorang anak yang solehah,
Yang bisa mendamaikan hati Ummi dan Abiku,
Jadikanlah diriku seorang mukminat solehah,
Kerna mukminat solehah itu lebih cantik dari bidadari syurga.
Dan...
Kurniakan aku kesabaran untuk menunaikan ketaatan pada-Mu,
Anugerahkan aku kesabaran dalam meninggalkan maksiat pada-Mu,
Jadikanlah hati ini hati yang sentiasa mengingati-Mu,
Agar dapat ku miliki sekeping hati yang tenang,
Jauh dari hasad dengki dan kepalsuan dunia,
Hadirkanlah cintaku kepada-Mu mengatasi segalanya,
Agar Kau temukan hati yang terbaik buat diriku.
Moga dapat kukecapi, kebahagiaan yang hakiki,
Suatu hari nanti...
Amin....
alt

Didik Hati Agar Sentiasa Redha


Firman Allah yang bermaksud: "Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu, Dialah yang mentakdirkan adanya kematian dan kehidupan untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya." - (Surah al-Mulk, ayat 1-2) .
Menyingkap maksud firman Allah itu, manusia sentiasa akan diuji dengan kebaikan dan kesulitan. Segala perkara atau peristiwa berlaku dengan izin dan kehendak Allah.
Bagi Allah segala-galanya adalah kebaikan untuk hamba-Nya. Penerimaan manusia boleh jadi berbeza sama ada perkara itu baik atau buruk kecuali orang mukmin yang memiliki keimanan sebenar. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Allah sungguh kagum kepada orang mukmin, apabila menerima nikmat ia bersyukur dan apabila ditimpa musibah ia bersabar." - (Maksud al-Hadis)
Setiap detik kehidupan kita perlu meyakini bahawa kita berada dalam ujian Allah sehingga roh bercerai daripada badan. Firman Allah yang bermaksud:
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan kami sudah beriman sedangkan mereka tidak diuji terlebih dulu. Dan sesungguhnya kami sudah menguji orang sebelum kamu maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui orang yang benar dan orang yang dusta." (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)
Manusia diberi kemampuan mengamati atau menilai sesuatu perkara dan peristiwa secara zahir melalui deria penglihatan. Manusia juga dapat mengguna akal untuk mentafsir perkara atau peristiwa yang dilihat.
Manusia yang lebih tinggi martabatnya ialah apabila dapat melihat melalui mata hati. Ini adalah penglihatan atau gambaran cahaya iman. Allah berfirman yang bermaksud: "Maka ambillah pelajaran wahai orang yang memiliki mata hati." (Surah al-Haysr, ayat 2)
Sering kali kita terdengar rungutan apabila hari hujan kerana hujan yang turun menyusahkan untuk ke pejabat atau ke mana saja sedangkan bagi tukang kebun atau petani, hujan adalah rahmat Allah yang akan menyuburkan pokok serta tanaman mereka. Begitulah kepelbagaian ragam dan persepsi dalam kehidupan.
Segala penentuan Allah diterima dengan persepsi berbeza antara satu sama lain. Perbezaan sudut pandang ini bergantung kepada beberapa perkara seperti ilmu, keimanan, amalan dan ketakwaan seseorang. Orang beriman sentiasa reda dan menerima segala ketentuan dengan hati tenang kerana mereka berfikir secara positif, mencari hikmah di sebalik setiap peristiwa.
Setiap insan sentiasa mengharapkan kedamaian dan ketenangan hidup, bahkan manusia menginginkan kesenangan itu berpanjangan. Realiti kehidupan tidak selalu begitu kerana langit tidak selalunya cerah.
Panduan berikut boleh dijadikan pedoman untuk mendidik diri menerima sesuatu peristiwa baik atau buruk dengan penuh keredaan. Dengannya kita akan berasa tenang dalam menerima sesuatu dengan rela hati :
Bersyukur kepada Allah dan Membilang Nikmat-Nya
Kita beriman bahawa Allah tetap memberi nikmat di dunia kepada semua hamba-Nya. Apabila kita mendapat nikmat-Nya kita bersyukur dan mengiktiraf nikmat itu supaya tidak lupa jasa Allah.
Firman Allah yang bermaksud: "Allah sudah menyempurnakan nikmat-Nya kepada kalian baik yang zahir mahupun yang batin." - (Surah Luqman, ayat 20)
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan jika kalian menghitung nikmat Allah nescaya kalian tidak akan dapat menghitungnya." - (Surah Ibrahim, ayat 34)
Nabi Sulaiman yang dikurniakan kerajaan dan kekayaan berkata: "Ini termasuk dalam kurnia Tuhanmu untuk menguji aku adakah aku bersyukur atau kufur nikmat." - (Surah an-Namlu, ayat 20) .
Syukur bukan setakat mengucapkannya tetapi kita perlu zahirkan kelakuan orang yang bersyukur dalam bentuk perbuatan. Contohnya, apabila seseorang itu mendapat keuntungan daripada perniagaan diusahakannya, dia akan dibelanjakan ke jalan halal dengan ikhlas.
Musibah Menghapuskan Dosa
Kita menerima musibah dengan positif untuk menyedarkan kita supaya menilai kembali tingkah laku. Sebagai manusia, kita tidak sunyi daripada melakukan dosa. Musibah dapat melenyapkan dosa yang dilakukan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Tidaklah seseorang mukmin itu ditimpa kecemasan, kegelisahan, rasa sakit dan keletihan hingga tertusuk duri melainkan dengan semua itu Allah akan menghapuskan dosanya." - (Maksud al-Hadis)
Bersabar Tanda Kemenangan
Allah mendidik kita supaya menerima sesuatu dengan reda dan sabar kerana Allah bersama dengan orang yang sabar. Orang yang bersabar akan mendapat kemenangan di dunia dan syurga di akhirat. Firman Allah yang bermaksud:
"Dan supaya kamu jangan terlalu berduka cita terhadap apa yang hilang daripada kamu dan janganlah kamu terlalu gembira apabila mendapat sesuatu nikmat." - (Surah al-Hadid, ayat 23)
Berdoa dan Memohon Pertolongan Hanya Kepada Allah
Doa adalah senjata orang mukmin. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh, yakin dan kenalilah Allah ketika senang nescaya Allah akan mengenali kita ketika susah. Berdoa dengan khusyuk dan jadikan berdoa para nabi sebagai panduan. Bayangkan bagaimana pasrah dan khusyuk nabi berdoa dalam keadaan genting.
Kita juga tahu Allah memakbulkan doa mereka. Nabi Ibrahim berdoa memohon pertolongan Allah ketika dibakar dalam unggun api yang marak menyala, Nabi Muhammad ketika perang Badar dan Nabi Musa yang cemas ketika di kepung Firaun di Laut Merah dan saat kegelapan Nabi Yunus dalam perut ikan.
Membaca al-Quran
Al-Quran adalah kitab rujukan utama kepada setiap mukmin yang cemerlang. Kitab ini perlu dibaca dan difahami maksudnya setiap hari dengan tujuan melembutkan hati serta mendidik jiwa supaya istiqamah dalam amalan yang baik.
Allah sentiasa mengingatkan supaya mengambil pendekatan sederhana kerana keluh kesah akan menambah lagi musibah. Apabila menerima sesuatu musibah, kita zahirkan rasa syukur dengan membandingkan musibah lebih besar atau membandingkan musibah dihadapi orang lain.
Mengambil pelajaran dan melihat sesuatu hikmah dalam setiap perkara akan melahirkan insan yang celik perasaan serta mampu mengharungi hidup yang penuh pancaroba.
alt

Berhati-Hati Ketika Mengharap


"Untuk apa kita mengharap pada seseorang yang tidak tahu mengharap kepada Tuhan?"
Pengharapan adalah sesuatu yang dapat memberikan kekuatan.
Walaupun kita berada dalam suatu kesusahan yang sangat berat, pengharapan akan memberikan kesegaran kepada iman untuk sentiasa bertahan.
Kita percaya bahawa masih ada jalan keluar kepada permasalahan.
Kita percaya bahawa pasti ada pertolongan.
Namun, pada siapa harus kita berikan pengharapan tersebut? Adakah pada makhluk seperti kita yang juga tak punya untuk memberi?
Atau pada Tuhan yang sentiasa menanti untuk diseru nama-Nya pagi dan petang? Bahkan Dialah yang memenuhi segala permintaan.
Seringkali kita meletakkan harapan yang tinggi kepada manusia untuk dipenuhi.
Padahal orang yang kita harapkan tersebut tak berdaya untuk memenuhi harapan dirinya sendiri.
Adalah lebih bahaya kalau orang yang kita harapkan sebenarnya tak pernah mengharap kepada Tuhan sekalian alam.
Dia menggantungkan kepercayaan kepada dirinya semata-mata tanpa sedikitpun merasa terikat dengan ketentuan Allah.
Jika orang sebegini yang kita harapkan, adakah dia akan membawa kita mendekati Tuhan?
Harapan tak tertunai, bahkan iman terungkai-rungkai ikatannya.
"Jangan risau, kalau aku ada, mesti ok punya semua benda."
"Hanya aku seorang yang boleh diharapkan."
Kata-kata sombong apakah itu? Seolah-olah dirinya adalah Tuhan yang menentukan segala keadaan.
Tanpa dia, mungkin keadaan menjadi kurang baik. Namun, dengan dia, adakah keadaan semestinya baik tanpa izin Tuhan?
Jika ada orang yang kita harapkan mengatakan begitu, berhati-hatilah, boleh jadi kita sedang mengharap pada yang tidak tahu mengharap kepada Tuhan.
Bukan tidak boleh kita percaya diri, meletakkan harapan kepada manusia.
Namun, cukuplah harapan itu setakat yang patut.
Jangan sampai harapan itu melangkaui harapan tertinggi yang seharusnya diberikan kepada Allah mutlak.
Tak ada gunanya mengharap kepada seseorang yang tidak tahu mengharap kepada Tuhan, kerana kelak kita akan disesatkannya.
Pengabdian kita kepada Allah akan tercalar.
Berharaplah kepada manusia untuk berbuat sekadar kemampuannya, namun keizinan untuk sesuatu itu terjadi tetap harus dikembalikan urusannya kepada Allah.
Pengharapan yang tidak patut kepada manusia selalu terjadi tanpa kita sedari. Pengharapan yang tidak langsung diikat dengan pengharapan kepada Allah.
Contohnya, selalu kita terlalu mengharap manusia memberikan cinta kepada kita sedangkan Allah yang menumbuhkan cinta dalam hatinya.
Kenapa tidak berdoa sahaja kepada Allah agar mengurniakan rasa cinta tersebut?
Walaupun pengharapan tidak memansuhkan ikhtiar, namun pengharapan yang tepat akan menjadikan ikhtiar kita lebih berkat.
"Ya Allah, Engkau berikanlah kekuatan kepada dia untuk melaksanakan tugas yang aku berikan."
Itulah bentuk pengharapan yang lebih baik. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan izin-Nya.
Tuntasnya, hubungan berbentuk horizontal yang tidak diikat dengan hubungan vertical akan menimbulkan kecelaruan dan kegoyahan.
Horizontal saya maksudkan sebagai hubungan sesama manusia, vertical sebagai hubungan dengan pencipta.
Hubungan horizontal yang tidak ada ikatan vertical adalah ibarat sebuah kipas syiling yang berpusing tanpa tergantung pada syiling, putarannya bukan menyejukkan, tapi menghancurkan.
Jauhkanlah diri kita daripada berharap secara keterlaluan kepada manusia sehingga langsung melupakan pengharapan kepada Allah.
Lebih parah kalau manusia yang kita harapkan itu memang tak pernah mengharap kepada Tuhan.
Manusia terbatas kemampuannya sedangkan Allah tak ada istilah tidak mampu bagi-Nya.
Apabila Dia mengatakan jadi, maka jadi.
"Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain. Dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap." -Al-Insyirah: 7-8
Wallahua'lam.
alt