----- > Teman Bicara < -----

**--** Antara Kita Tiada Rahsia **--**

Monday, October 31, 2011

3 Doa untuk anak supaya menjadi soleh dan solehah

اَللَّهُمَّ فَقِّهُّ فِي الدِّيْنِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ.
Maksudnya: Ya Allah, berilah kefahaman kepadanya dalam urusan agama dan ajarkannya Takwil (tafsir al-Quran).

اَللَّهُمَّ أَلْهِمْهُ التَّأْوِيْلَ وَعَلِّمْهُ الْحِكْمَةَ.
Maksudnya: Ya Allah, ilhamkannya Takwil (tafsir al-Quran) dan ajarkannya hikmah (ilmu yang tepat).

اَللَّهُمَّ بَارِكْ فِيْهِ وَانْشُرْ مِنْهُ.
Maksudnya: Ya Allah, berkatilah padanya dan sebarkanlah ilmunya.

Petua Rasulullah saaw buat yang menghidap penyakit kronik..


Sekiranya sahabat mempunyai kenalan yang menghidap penyakit kronik (kanser, kencing manis, sakit jantung, darah tinggi dll) pujuklah dia/mereka untuk mengamalkan solat pada waktu malam (walaupun sekadar 1 rakat witir) kerana dari Salman al-Farisi katanya, telah bersabda Rasulullah saaw;

"Dituntut ke atasmu melakukan solat malam kerana sesungguhnya solat malam itu merupakan antara kebiasaan orang soleh sebelum kamu, sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhanmu, penutup segala kejahatan, penghapus segala dosa dan pembasmi segala penyakit dalam badan."

Menurut guru kami, Al Fadhil Ustaz Wan Nasir Wan Abdul Wahab, pembasmi segala penyakit dalam badan bukan sahaja merujuk kepada menyembuh penyakit tetapi turut bermaksud MENGHALAU penyakit tersebut dari menghinggapi badan si sakit semula.

Mesti cuba tau! Moga Allah menganugerahkan sifat istiqamah kepada kita semua.

Wednesday, October 19, 2011

Nilai Hidup Selepas Konvokesyen


Musim konvokesyen datang lagi. Tahniah kepada para graduan yang berjaya memperoleh sijil akademik masing-masing. Sijil yang dipegang dan dijulang akan lebih bermakna apabila ilmu dari pencapaian itu dimanfaatkan sebaik-baiknya. Maka, eloklah saya menyentuh beberapa aspek yang perlu kita sama-sama memperingati selepas graduasi.
Pertama, akademik adalah hanya salah satu cabang ilmu yang ada di muka bumi Allah SWT.Kita tidak seharusnya terus rasa senang dengan menggenggam sijil pencapaian kerana kita hanya diiktiraf dalam satu cabang ilmu dari beribu-ribu cabang ilmu yang lain.
Ilmu yang kita peroleh itu hanyalah pinjaman Allah kepada kita, sedangkan hakikatnya ilmu-ilmu Allah lebih luas. Maka, kita perlu terus mencari ilmu dan menambah ilmu yang ada dengan mengisi umur kita sehari-hari sebaik-baiknya.
Kedua, menerima hakikat bahawa ilmu Allah itu luas dan Allah Maha Bijaksana. Kita tidak layak bermegah-megah dan takabur dengan pencapaian kita. Meskipun, kita diiktiraf dengan pencapaian akademik yang menakjubkan, tidak bermakna kita hebat dalam semua bidang.
Begitu juga kita tidak perlu iri hati dengan pencapaian orang lain kerana setiap insan itu ada kelebihannya tersendiri dan hari ini bukanlah penamat bagi pencarian ilmu. Apa yang lebih penting adalah, kita masih boleh teruskan pencarian ilmu dan menjadi insan berilmu.
Dalam pada itu, kita perlu merendah diri dan sentiasa bersyukur kepada Allah kerana ilmu Allah begitu luas jika dibandingkan dengan apa kita peroleh. Rasa malu dan merendah diri pada Allah amat membahagiakan dan merasa diri sentiasa ditemani dalam mencari ilmu-ilmu yang bermanfaat.
Ke tiga, rugilah kita jika kita punya ilmu yang bermanfaat tetapi tidak dimanfaatkansewajarnya. Ada dikalangan kita yang cukup bernasib baik kerana mempunyai kerjaya di bidang yang diceburi dan bidang akademik yang diiktirafnya. Tetapi tidak kurang ramainya dikalangan kita yang menceburi bidang kerjaya yang berbeza dengan bidang akademik mereka.
Meskipun begitu, lihatlah pada isi pati akademik bukanlah isi luaran akademik. Di universiti dan kolej, pelajaran terpenting adalah berdikari dalam pencarian ilmu. Ingatlah, tidak semua perkara dalam kertas peperiksaan yang datang dari kuliah bersama para pensyarah. Ada isi pelajaran datang dari kerja kursus dan tugasan yang diberikan.
Tanpa kita sedari, memenuhi tugasan adalah satu tarbiah kepada kita supaya berdikari dalam mencari ilmu. Tidak kurang dengan cara pensyarah yang menggalakan soalan ditanya ketika kuliah atau bertemu mereka untuk mendapat penjelasan yang lebih baik. Benar, belajar biarlah berguru.
Maka semua gaya hidup belajar di menara gading bukan sahaja mengajar kita akan isi luaran akademik tetapi isi pati akademik yang mengajar kaedah hidup dalam pencarian ilmu. Manfaatkan ilmu sebaik-baiknya dan jangan pula kedekut untuk berkongsi ilmu yang ada kerana ilmu itu juga bukan milik kita, tetapi milik Allah SWT.
Ke empat, menjaga kehidupan selepas graduasi dan ketika mendokong tanggungjawab bergelar pekerja. Sikap kapitalis kadang-kala membuatkan kita jauh dari landasan gaya hidup yang Islami.
Waktu solat tidak dijaga, hubungan kita dengan ibu bapa makin jauh, kuliah-kuliah agama ditinggalkan dan banyak lebihkan masa untuk bekerja dari perkara lain. Sememangnya ramai yang berkata, "baru mula kerja, biar usaha lebih sedikit". Tetapi ingatlah, jangan lepaskan masa muda begitu sahaja. Usia yang punya kekuatan mental dan tubuh badan yang cergas membolehkan kita sebenarnya mengisi usia dengan perkara lebih bermanfaat.
Caranya adalah mengimbangi antara tanggungjawab pejabat dan tanggungjawap ke atas diri sendiri dan manusia lain serta kepada Allah. Nekad dan usaha untuk pulang dari pejabat tepat pada waktunya. Teruskan hadir ke kuliah agama dan solat berjemaah. Berikan masa pada suami dan isteri serta anak-anak secukupnya.
Imbangkan hidup dengan nilai hidup yang lebih tinggi. Apalah sangat nilai hidup jika hanya pergi dan pulang pejabat, cukup bulan makan gaji. Selayaknya kita mengecapi kebahagian, ketenangan dan keseronokan hidup yang lebih bermakna dari itu seawal usia muda dengan izin Allah. InsyaAllah.
Ke lima, hati-hati dengan budaya syarikat. Kemasukan syarikat antarabangsa ke negara kita banyak memberi manfaat tetapi awas! Budaya syarikat tidak menekankan aspek rohani. Program syarikat seperti makan malam dan sambutan perayaan negara asal syarikat kadang-kala diisi dengan maksiat serta kemungkaran yang nyata. Hati-hati agar iman terjaga.
Ke enam, hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya. Pernah tidak kita mendengar nasihat ini "besar nanti, jadilah orang yang berguna" lalu kita berkata "ya". Begitu banyak maksud yang boleh disandarkan pada orang yang berguna tersebut.
Hanya satu untuk disentuh di sini iaitu apabila kita memperoleh pendapatan sendiri dan pada masa yang sama mempunyai ilmu serta pengalaman, jangan kita lupa bahawa kita tidak hidup bersendirian. Kita mungkin ada orang bawahan di pejabat, kita punya tukang sapu sampah di pejabat, tukang kebun atau orang gaji di rumah atau sesiapa sahaja yang pada hakikatnya segala urusan hidup kita bergantungan pada mereka ini. Kawallah diri supaya sentiasa menjaga hati mereka.
Berikan mereka hak untuk senyum dan rasa bahagia untuk bekerja untuk kita. Kita juga seharusnya memperbanyakan perkongsian perolehan kita dengan orang lain. Mengajar pekerja baru seikhlas-ikhlasnya, menyumbangkan untuk dana-dana kemasyarakatan dan menyalurkan tenaga kerja untuk kebaikan permasalahan awam antara cara-cara untuk memberi khidmat sukarela yang baik.
Ringankan tangan dan ikhlaskan hati untuk menyalurkan bantuan kepada yang memerlukan. Sasarannya masih sama iaitu menjadi orang yang berguna atau orang yang bermanfaat kerana kita tidak lagi terkongkong dengan pendapatan orang lain serta mempunyai masa yang boleh dikawal sendiri.
Terakhir, inilah masanya untuk kembali berjasa kepada ke dua ibu bapa kita. Inilah masanya untuk merasakan perit pahit dan manis yang dilalui oleh ibu dan bapa kita. Mengingat akan itu, maka berterima kasihlah pada ke dua mereka dan kembali berbaktilah kepada ke duanya.
Berikan masa dan hulurkan bantuan serta perhatian kepada mereka. Sedang kita dahulunya sibuk dengan keperluan kampus, kini tidak lagi. Kita punya kemampuan menyusun masa dan harta sendiri.
Hidup seorang anak hanya akan bahagia dan sebahagia-bahagianya dengan redha dari ibu dan bapa. Umur mereka makin lanjut dan makin kurang bertenaga. Mereka bukan perlukan wang dari kita tetapi mereka hanya dahagakan kasih sayang dari kita. Bahagiakan mereka, semoga Allah membahagiakan kita juga.
Tahniah atas graduasi dan selamat maju jaya.
alt

Perhiasan Itu Kian Terhakis


Malu-malu anak Nabi Syuaib a.s ketika berjalan kembali menemui Nabi Musa a.s. bukan untuk lebih lanjut berkenalan, tetapi kerana menyampaikan jemputan dari ayahnya kepada pemuda gagah lagi beriman tersebut.
Telah terakam kisah tersebut di dalam al-Quran yang bermaksud:
"Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari kedua perempuan itu berjalan dengan malu-malu, dia berkata: Sesungguhnya ayahku mengundangmu untuk memberi balasan atas (kebaikanmu) memberi minum (ternak) kami". Ketika Musa mendatangi ayahnya (Syuaib) dan dia menceritakan kepadanya kisah (mengenai dirinya), dia (Syuaib) berkata, "Janganlah engkau takut! Engkau telah selamat dari orang-orang zalim".(Surah al-Qasas: ayat 25)
Teruja dengan sifat malu-malu anak perempuan nabi Syuaib a.s. Yang malu-malu inilah mahal, tetapi yang mahal inilah semakin kurang benihnya dalam diri wanita muslimah.
Malu itu memang perlu bertempat kerana itu letaknya maksud adil, Allah S.W.T meletakkan sifat malu wanita itu sebenarnya untuk menjaga dirinya, maruahnya dan jasadnya dari direnggut mata dan nafsu liar manusia.
Daripada ayat di atas ada pengajaran yang kita boleh pelajari untuk bekal perhubungan wanita semasa bekerja dengan yang berlainan jantina iaitu kata-kata yang ringkas dan jelas.
Lihatlah anak perempuan Nabi Syuaib apabila menjemput Nabi Musa a.s, dia datang dengan perhiasan sifat malu sambil menyampaikan jemputan ayahnya dengan ucapan yang ringkas, jelas dan mudah difahami.
Dia berkata: "Sesungguhnya ayahku mengundangmu untuk memberi balasan atas (kebaikanmu) member minum (ternak) kami". (Surah al-Qasas: ayat 25)



Tidak pula dia meleret-leret sambil berkata: "Terima kasih ye tolong kami tadi. Awak ni memang baik hati dan gagah. Awak tinggal kat mana ye. Emm, sebenarnya ayah saya jemput awak datang ke rumah, entahlah kenapa..bla bla bla.."
Dan melihat pula peribadi Nabi Musa a.s pula, dia tidaklah mengambil kesempatan tersebut untuk berdua-duaan serta berkenal-kenalan dengan lebih lanjut. Terus berjalan menuju ke rumah nabi Syuaib a.s untuk memenuhi jemputan.
Itulah adab muslimin dan muslimah yang sepatutnya apabila perlu bermuamalat. Mungkin perbuatan di atas tanpa disedari pernah dilakukan oleh kita.
Meleret-leret bermula dari pertolongan kepada tujuan untuk berkenal-kenalan, bergurau- senda, lalu terbuka jalan untuk bertemu sambil bertukar-tukar cerita.
Wanita Muslimah apabila berjalan..
Dari sudut lain, ayat di atas juga terkandung gambaran sifat malu wanita yang perlu diikuti oleh wanita muslimah bagi menjaga akhlaknya, memelihara dirinya dan melindungi maruahnya iaitu 'malu ketika berjalan'.
Ahli tafsir menjelaskan tentang keadaan anak perempuan nabi Syuaib a.s berjalan dengan malu-malu adalah ketika menjemput nabi Musa a.s dan ketika pulang bersama menuju ke rumah Nabi Syuaib a.s.
Imam Alusi ketika menafsirkan ayat (عَلَى اسْتِحْيَاء) berkata: 
"Anak perempuan Nabi Syuaib a.s berjalan sambil malu-malu ketika berjalan menemui (Nabi Musa a.s) dan ketika pulang.."(Ruhul ma'ani, 10/273)


Sayyid Qutb pula menambah:



"Wanita yang suci, baik, mempunyai maruah apabila dia berjalan dan bertemu dengan golongan lelaki, dia berjalan (dengan malu-malu)) tanpa dibuat-buat, tanpa berhias berlebih-lebihan dan tidak menggoda."(Fi zilal al-Quran, 5/2686).
Ringkasnya wanita mukminah apabila berjalan merentasi kaum lelaki:
  • Hiasi dengan sifat malu.
  • Tidak bertabarruj (berhias) secara berlebih-lebihan.
  • Menutup aurat.
  • Tidak dibuat-buat.
  • Cara jalan yang tidak menggoda.
Malu dan Wanita kini..
Apabila dikaitkan dengan realiti kehidupan sekarang, amat menyedihkan sekali apabila kaum wanita secara tidak sedar telah dipergunakan sebagai sumber keuntungan melariskan barangan dan produk kecantikan. Sabun, syampu, model kosmetik malah model untuk kereta pun wanita yang menjadi pelarisnya.
Ya Allah.. Bagaimanakah lagi sifat malu yang menjadi fitrah wanita itu boleh menutup dan menjaga diri serta maruah wanita dari direnggut manusia yang berkepentingan dunia.
Kecantikan itu anugerah, dan Allah S.W.T menciptakannya dengan sifatnya yang Maha Adil. Dia meletakkan kecantikan dan perhiasan wanita itu pada permulaannya hanya untuk ditatap oleh yang hak sahaja.
Tetapi apabila hak ini dicabuli dan tidak diletakkan kepada yang sepatutnya, maka wanita itu secara automatik telah menzalimi dirinya sendiri.
Apabila berjalan di pinggiran jalan, memerah muka menahan malu melihat ada gadis-gadis malah yang sudah menjadi ibu berpakaian dengan pakaian yang 'tidak cukup meter.'
Teringat Prof Dr Muhaya berkata, kita melihat kesalahan orang supaya kita tidak jadi seperti mereka. Jangan pula sibuk mencari kesilapan orang dan dipanjang-panjangkan cerita itu sehingga lupa hendak mencari silap sendiri.
Justeru bukanlah tujuan menceritakan 'sakit-sakit mata' dan 'merah-merah muka menahan malu' ketika berjalan dipinggir jalan dan di dalam LRT melihatkan wanita yang tanpa segan silu mendedahkan aurat dengan megah.
Namun sebenarnya di sebalik tulisan ini mengharap dan mengingatkan kembali diri kita yang terlupa akibat keindahan dunia dan pujian manusia ini agar sentiasa ingat bahawa diri kita secara fitrahnya dikurniakan sifat malu oleh Allah S.W.T.
Tanda sayang-Nya, tanda Dia mahu menjaga maruah kita, tanda Dia mahu kita selamat dari gangguan yang tidak kita senangi.
Orang yang punyai sifat malu terpeliharalah dirinya, akhlaknya, maruahnya. Dengan sifat malu, aurat ditutup sempurna, pergaulan dijaga, tidak senang ditatap mesra.
Wanita, perhiasannya malu. Andai hilang malu takutlah wahai muslimah. Petanda awal bahawa akhlakmu akan diganggu gugat syaitan dan nafsu.
Mudah-mudah dipelihara Allah S.W.T selalu.
Ingatan buat diri sendiri sebenanrnya dan sekembalinya.
Rujukan: kitab Inayah al-Quran wa as-sunnah bi masya'ir al mar'ah.
Artikel iluvislam.com


Monday, October 3, 2011

Faktor-faktor yang mendorong ke arah berusaha mencari pahala

1. Masa yang berlalu begitu cepat.
Semua orang memerlukan masa bagi menjalankan urusan kehidupan. masa begitu penting bagi kita. Oleh itu, rebut peluang dan masa yang ada pada kita walaupun sedikit bagi melakukan perkara-perkara yang berfaedah dan melakukan amal kebajikan.

2. Kematian yang datang secara tiba-tiba.
Allah mengingatkan kita:
''Katakanlah sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, ia akan mencri kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan nyata, ia akan memberitahu kamu apa yang telah kamu kerjakan.''
(Surah Al-Jumu'ah, ayat 8)

3. Perubahan keadaan dan situasi hidup.
Perubahan keadaan dan situasi manusia tidak diketahui melainkan Allah. Contohnya, orang yang kaya boleh menjadi miskin, orang yang senang boleh menjadi susah, orang yang sihat tiba-tiba sakit, orang yang banyak memiliki masa lapang tiba-tiba menjadi sibuk, orang muda akhirnya menjadi tua dan akhir sekali orang yang sedang menikmati kehidupan tiba-tiba didatangi kematian.

4. Bagi memberatkan timbangan amal pada hari akhirat.
Pada hari akhirat kelak, amalan kita sama ada yang baik ataupun buruk ditimbang satu persatu di atas neraca Allah yang penuh keadilan. Pada masa itu, manusia memerlukan saham pahala bagi memberatkan timbangan amalnya hinggakan pahala sebesar biji zarah pun berguna pada masa itu.

5. Bagi menggantikan kelalaian dalam mentaati perintah Allah.
Allah berkata:
”Tiada guna lagi pada hari kiamat seseorang yang berkata betapa menyesalnya diriku di atas kelalaianku daripada mentaati perintah Allah, dan aku dulunya semasa di dunia yang suka menghina dan memperlekehkan orang.”
(Surah az-Zumar, ayat 56)

6. Perasaan takut pada perhimpunan di padang mahsyar dan hisab jika tidak cukup amalan bagi berhadapan dengan Allah.
Allah menyebut:
”Berilah amaran dengan ini kepada mereka yang takut di himpunkan kepada tuhan mereka, tiada lagi bagi mereka pada waktu itu penolong dan tiada lagi pemberi syafaat, mudah-mudahan mereka bertakwa.”
(surah al-an’am, ayat 51)

Takut kepada allah adalah pendorong yang kuat ke arah melakukan amal soleh.

7. Galakan allah supaya mencari ganjaran pahala daripadanya.
Allah menyatakan:
”Orang beriman dan beramal soleh akan kami tempatkan mereka di dalam syurga yang terdapat di dalamnya bilik-bilik, di bawahnya mengalir sungai-sungai, mereka kekal di dalam syurga itu selama-lamanya, itulah sebaik-baik ganjaran bagi orang yang beramal.”
(surah al-ankabut, ayat 58)